Tuesday, July 16, 2013

Pekerja binaan temui fosil



BRISBANE - Pekerja-pekerja pembinaan projek menaik taraf sebuah landasan kereta api di sini telah menemui sejumlah fosil tumbuhan dan haiwan purba yang dipercayai berusia 50 juta tahun.
Penemuan fosil itu berlaku ketika pekerja binaan tersebut sedang menggali tanah berhampiran stesen kereta api Geebung pada bulan lalu.
Fosil yang ditemui di dalam tanah sedalam 15 meter dekat kawasan memacak cerucuk itu kemudian telah dibawa ke permukaan untuk dianalisis.
Fosil-fosil yang ditemui itu antaranya ialah fosil buaya, ikan, haiwan moluska air tawar dan tumbuh-tumbuhan.
Kesemua fosil tersebut berada di lapisan minyak syal yang dijangka berusia puluhan juta tahun.
Datuk Bandar Brisbane, Graham Quirk berkata, ia merupakan satu penemuan yang sangat menakjubkan.
Menteri Pengangkutan Australia, Scott Emerson yang menyelia kerja-kerja pembinaan landasan kereta api tersebut berkata, kemungkinan lebih banyak fosil berada di kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa jurutera projek tersebut sedang bekerjasama dengan Universiti Queensland dan Muzium Queensland berikutan penemuan fosil berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ZGOoZBIU 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, July 14, 2013

Fosil cicak dalam batu ambar




SAN CRISTOBAL DE LAS CASAS, Mexico - Sepasukan saintis di Mexico sedang mengkaji fosil lengkap seekor cicak purba yang pernah hidup sekitar 23 juta tahun dahulu yang terpelihara di dalam seketul batu ambar, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Fosil ambar yang berbentuk trapezoid dengan bangkai cicak di dalamnya ditemui beberapa bulan lalu di pusat cari gali ambar di Simojovel, Chiapas di sini.
Kebiasaannya, batu ambar akan mengandungi tumbuhan-tumbuhan dan haiwan kecil di dalamnya, namun untuk menemui haiwan yang sempurna seperti cicak tersebut, ia jarang berlaku.
Kajian awal mendapati cicak itu merupakan seekor spesies baharu cicak daripada keluarga Anolis.
Penemuan itu kini dipamerkan di Muzium Ambar di sini.
Saintis Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, Francisco Riquelme berkata, spesimen itu berukuran 4.5 sentimeter panjang dengan 1.3 sentimeter lebar.
Spesimen cicak itu masih lengkap mempunyai tisu kulit dan tisu badan yang lembut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Z4kMNfir 
Hakcipta terpelihara