Wednesday, June 26, 2013

Lebuh raya 1,800 tahun ditemui






Baitulmaqdis: Pakar arkeologi berjaya menemui satu lebuh raya purba, dipercayai dibina pada era pemerintahan Rom di Baitulmaqdis, kata pihak berkuasa. 

Agensi Antikuiti Israel (IAA) berkata lebuh raya berkenaan dipercayai berusia 1,800 tahun ditemui di kejiranan Palestin di Beit Hanina di utara Baitulmaqdis, lapor media tempatan. 
Ini adalah kali pertama kami menemui sebahagian jalan purba di Baitulmaqdis yang dijaga dengan baik, kata pengarah kerja arkeologi berkenaan David Yeger. Beliau berkata, lebuh raya yang baru ditemui itu adalah salah satu rangkaian jalan yang dibina kerajaan Rom, menuju ke Baitulmaqdis dari arah pantai. 



Guna batu leper 

Lebuh raya itu mempunyai keluasan lapan meter dibina menggunakan batu leper yang besar dan dilekatkan antara satu sama lain, untuk memberi keselesaan kepada pengguna yang berjalan kaki. 

Sebahagian daripada batu itu sudah rosak teruk dan ia memberi isyarat bahawa ia digunakan dengan kerap selama bertahun-tahun dan turut mengalami beberapa kerja baik pulih, katanya. 
Kerajaan Rom memerintah wilayah Mediterranean dan sebahagian daripada Eropah pada abad pertama sebelum Masehi hingga kejatuhannya pada tahun 476. 

Bergerak pantas, selesa 

Pentadbiran Rom di Baitulmaqdis membina banyak jalan raya bertujuan memenuhi keperluan kerajaan, tentera, ekonomi dan orang awam yang mahu pergerakan pantas dan selesa. 

Pembinaan dan penyenggaraan lebuh raya ini dilakukan oleh unit tentera, tetapi orang awam turut mengambil bahagian, dalam kerja yang diwajibkan kepada mereka oleh pihak pemerintah, katanya. 
AGENSI
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lebuhraya1_800tahunditemui/Article

Kota purba Korea Utara diiktiraf


KAESONG 24 Jun - Tinggalan kota purba di wilayah Hwanghae Utara di selatan Korea Utara, diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam.
Kaesong yang menjadi ibu kota kepada Dinasti Koryo yang memerintah Korea Utara dan Korea Selatan dari 918 Masihi hingga 1392, terletak berhampiran kawasan industri Kaesong, yang terpaksa ditutup pada April lalu ekoran perselisihan antara kedua-dua negara terbabit.
Usaha Korea Utara untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut diluluskan pada mesyuarat UNESCO di Phnom Penh, Kemboja, semalam.
Kaesong memiliki 12 tapak berasingan, termasuk makam Raja Kongmin, runtuhan Istana Manwoldae dan akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik ketika era itu.
"Peninggalan budaya bernilai itu menjadi kebanggaan negara kami dan terdapat juga tinggalan budaya berharga yang menunjukkan sejarah panjang negara Korea.
"Ada juga tinggalan yang telah disimpan dalam tempoh yang panjang yang boleh menjadi kebanggaan kami di mata dunia," kata seorang penyelidik di Pejabat Pengurusan Bandar Kaesong bagi Pemuliharaan Warisan Kebangsaan, Kim Jin-sok.
Kaesong menjadi tapak kedua di Korea Utara yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia selepas kompleks Makam Koguryo di Pyongyang yang menerima pengiktirafan sama pada 2004.
Sementara itu, sebanyak 13 lokasi di seluruh dunia turut diwartakan sebagai Warisan Dunia UNESCO pada hujung minggu lalu termasuklah gunung berapi tertinggi dan paling aktif di Eropah, Gunung Etna di Itali dan Gunung Fuji, gunung tertinggi di Jepun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130625/lu_09/Kota-purba-Korea-Utara-diiktiraf#ixzz2XK4Yh5VT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, June 16, 2013

Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Merapoh

















KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Hasil kajian ke atas fosil itu mendapati ia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis pada 2011 lalu yang berusia 230 juta tahun.
Ahli Paleontologi itu, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman prasejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaik taraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil yang terletak pada lapisan batu lumpur itu merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup dipersekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penemuan itu menunjukkan sekitar 250 juta hingga 260 juta tahun dahulu Merapoh berada di dasar lautan dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_20/Cengkerang-berusia-260-juta-tahun-ditemui-di-Merapoh#ixzz2WNgmJRxH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, June 12, 2013

Artifak sejarah dalam laut terus diceroboh


KUALA LUMPUR 12 Jun - Jabatan Warisan Negara (JWN) mendedahkan bahawa ada sindiket terancang yang mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit hasil tinggalan kapal-kapal yang tenggelam di perairan negara menyebabkan Malaysia kerugian besar dari segi hasil sejarah dalam laut.
Barang peninggalan termasuk emas dan berlian menjadi rebutan sindiket ini sekurang-kurangnya daripada 67 kapal dagang dan kapal perang lama yang tenggelam di kawasan perairan negara di Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Pahang.
Pegawai Warisan bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi berkata, koleksi artifak daripada kapal karam atau kargo, emas, berlian dan barang berharga yang lain itu dicuri untuk dijual di pasaran gelap atau dijadikan koleksi peribadi.
"Di perairan Melaka sahaja terdapat 35 buah kapal yang tenggelam.
"Jika dikira dengan jumlah sedia ada sebenarnya tapak kapal karam di Malaysia lebih pada yang direkodkan kerana setiap masa ada saja laporan penemuan kapal karam baharu di negara ini," katanya kepada Bernama.
Menurut Jabatan Muzium, antara kapal lama yang tenggelam di perairan negara ialah kapal Nassau milik Angkatan Laut Belanda, pada 16 Ogos 1606 berhampiran kawasan yang dikenali Bambek Shoal, lima kilometer dari luar pantai Port Dickson ketika berperang dengan Portugis.
Dalam peperangan itu, Belanda kehilangan dua kapal iaitu Nassau dan Middleburg, manakala Portugis kehilangan kapal San Salvador dan Don Duarte De Guerra.
Berdasarkan eskavasi arkeologi maritim, tinggalan kapal Nassau berjaya dijejaki sekali gus menemui sebanyak 5,000 artifak seperti senapang besi dan gangsa, dua sauh besi, peluru plumbum, seramik dari Eropah Utara, tempayan martaban dari Asia Tenggara dan barangan piuter.
Sebuah lagi kapal, Royal Nanhai yang temui pada tahun 1995 dipercayai sebuah kapal Diraja dari China yang karam pada 1460 dan ditemui di perairan antarabangsa kira-kira 40 batu nautika dari timur Semenanjung Malaysia pada kedalaman 46 meter.
Kapal yang berukuran 28 meter panjang dan 8 meter lebar ini didapati karam apabila menjalankan tugas khas membawa barangan Diraja ke Melaka seperti kotak laker berwarna hitam, chop menteri daripada gangsa dengan pemegangnya berbentuk gajah dan mangkuk seramik China berwarna biru dan putih, yang dipercayai berasal daripada pemerintahan Jingtaij Tienshun antara tahun 1450 dan 1464.
Ruzairy berkata, pihaknya sering menerima maklumat dan laporan daripada nelayan serta pencari harta karun bahawa berlakunya 'penjarahan' atau kecurian artifak di kawasan perairan Labuan, perairan Kudat, Balambangan dan Mantanani, Perairan Melaka hingga ke Tanjung Tuan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah kes melibatkan kecurian itu pada tahun lepas dan tahun sebelumnya.
Katanya, nilai sesuatu artifak yang terdapat dalam sesebuah kapal karam lebih diukur melalui bukti sejarah dan kepentingan terhadap persejarahan negara daripada nilai komersil.
"Semakin lama dan sukar artifak itu maka nilai komersilnya lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, kapal karam dan artifaknya merupakan sumber data negara yang penting bagi membuktikan kewujudan sebuah pelabuhan entrepot terulung dan perdagangan maritim empayar Melaka (1278-1511)di perairan Melaka.
Katanya, JWN dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) sentiasa bersiap sedia dan peka pada setiap laporan yang diterima bagi menghalang sebarang pencerobohan atau aktiviti pencurian kapal karam bersejarah.
"Kami juga meminta APMM supaya menyoal dan menangkap sesiapa sahaja yang cuba menjalankan aktiviti menyelam di kawasan yang bukan kawasan rekreasi skuba atau mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh JWN untuk kerja meninjau dan mengambil barangan artifak itu," katanya.
Ruzairy berkata, khazanah dan artifak kapal karam bersejarah dilindungi melalui Akta Warisan Kebangsaan 2005 iaitu warisan kebudayaan di bawah air bagi mengelak sebarang pencerobohan dan kecurian.
Jabatan Warisan Negara juga telah mewartakan empat tapak di Perairan Tanjung Tuan, Perairan Pulau Upeh-Pulau Besar, Pulau Tioman dan Labuan sebagai 'zon yang dilindungi' kerana kawasan itu banyak terdedah kepada kecurian artifak, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_34/Artifak-sejarah-dalam-laut-terus-diceroboh#ixzz2VzV4pcYu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, June 11, 2013

Terowong bawah tanah ditemui



KOTA BHARU - Pada tahun lalu orang ramai dikejutkan dengan penemuan misteri kononnya terdapat sebuah terowong bawah tanah di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini.
Bagaimanapun, kewujudan terowong tersebut dinafikan penduduk kerana ia sebenarnya hanya sebuah telaga yang di bawahnya terdapat saluran air yang mengalir ke Sungai Kelantan.
Baru-baru ini, cerita mengenai kewujudan sebuah terowong bawah tanah di Kelantan timbul lagi tetapi kali ini ia benar-benar wujud di Kampung Kalai, Jeli dekat sini baru-baru ini.
Presiden Kelab Pencinta Sejarah Kelantan, Mohd. Idham Rashid berkata, terowong itu dipercayai digali pada zaman sebelum kedatangan British dan ditemui pihaknya sejak Februari lalu.
Menurutnya, terowong tersebut juga dipercayai boleh menembusi sehingga ke sempadan Thailand.
"Mungkin ramai yang tidak mengetahui Kampung Kalai adalah sebuah pekan lama dan satu-satunya sempadan darat di Kelantan yang memisahkan Malaysia dengan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2VxywDpwk 
Hakcipta terpelihara 

Artifak kaum Maya ditemui di tapak pembinaan



SAN SALVADOR - Beberapa pekerja yang membina sebuah bangunan kediaman menemui beberapa pasu, serpihan seramik dan artifak lain, kata seorang pegawai kelmarin.
Penemuan itu dibuat di Colon, 25 kilometer ke barat San Salvador.
Sebahagian rangka manusia turut ditemui di tapak persebut.
Barang-barang dan rangka manusia yang ditemui beberapa ahli arkeologi Jepun dan Salvador itu mungkin berasal dari zaman kebudayaan kaum Maya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2VxyHfZDy 
Hakcipta terpelihara