Sunday, December 1, 2013

Lembing batu tertua wujud sebelum kemunculan manusia



ADDIS ABABA 1 Dis. - Lembing batu tertua di dunia yang berusia 280,000 tahun ditemukan di Afrika, menunjukkan ia wujud sebelum kemunculan manusia iaitu kira-kira 80,000 tahun kemudian.
Penemuan lembing tersebut membawa maksud senjata itu mungkin dicipta oleh nenek moyang kepada manusia purba berbanding spesies sama dengan manusia moden.
Ia juga menunjukkan nenek moyang manusia dengan nama saintifiknya, Homo heidelbergensis mempunyai teknologi lebih maju daripada yang disangkakan.
Penyelidik dari Universiti California di Pusat Penyelidikan Evolusi Manusia Berkeley, kini mengkaji mata lembing diperbuat batu tersebut yang baru-baru ini ditemui di kawasan Zaman Batu Ethiopia atau dikenali sebagai Gademotta di sini.
Dalam jurnal PLos ONE, mereka mendakwa senjata itu diperbuat daripada obsidian, sejenis gelas yang terhasil secara semula jadi melalui aktiviti gunung berapi.
"Penemuan ini sangat penting kerana ia memberi bukti langsung kepada kelebihan teknologi kompleks yang wujud sebelum kewujudan Homo sapiens,'' kata saintis berkenaan.
Penyelidik mempercayai, nenek moyang kepada Homo sapiens di Afrika, Neanderthal di Eropah dan Asia berasal daripada spesies Homo heidelbergensis.
Bukti sebelum ini menunjukkan Homo heidelbergensis mempunyai kemahiran bertukang dan membunuh haiwan besar.- AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131202/lu_10/Lembing-batu-tertua-wujud-sebelum-kemunculan-manusia#ixzz2mIV8D8eC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, October 26, 2013

Mumia 1,000 tahun ditemui di Peru


LIMA - Ahli-ahli arkeologi menemui dua mumia kaum Wari yang berusia lebih 1,000 tahun di sebuah tapak perkuburan kuno di pinggir bandar raya ini kelmarin.
Seorang ahli arkeologi, Gladys Paz berkata, dua mumia tersebut merupakan penemuan paling penting sejak tiga dekad lalu.
"Kedua-dua mumia itu masih berada dalam keadaan baik," katanya kepada agensi berita AFP di makam Huaca Pucllana, dekat daerah Miraflores di sini.
Makam purba tersebut ditemui lima hari lalu tetapi proses mengeluarkan mumia manusia dewasa dan kanak-kanak itu mengambil masa beberapa hari.
Menurutnya, penemuan mumia tersebut adalah yang ketiga daripada 70 buah makam purba yang digali di Peru sejak tahun 1981.
Pada tahun 2010, seorang ahli arkeologi menemui makam seorang wanita yang dikebumikan bersama empat orang anaknya.
Sementara itu, pada tahun 2008, mereka menemui mumia seorang gadis yang berusia 13 tahun.
Kedua-dua mumia yang baru ditemui itu akan dibawa ke makmal untuk ujian selama empat hingga enam bulan bagi menentukan umur dan jantina mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2ioJP65NR 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, September 29, 2013

Ribuan fosil kaki dinosaur ditemui

Washington: Beribu-ribu fosil tapak kaki dinosaur pemakan daging dan daun, ditemui di sepanjang Sungai Yukon di Alaska baru-baru ini, kata saintis. 

Profesor geologi Universiti Alaska Fairbanks, Paul McCarthy berkata, beliau terkejut dengan jumlah fosil berjaya ditemui ketika melakukan ekspedisi bersama pasukannya. 
“Kami temui fosil tapak kaki dinosaur hampir di semua lokasi yang kami lalui. Kesannya di sepanjang Sungai Yukon terlalu banyak. Kami dapat mengumpul sehingga 50 spesimen hanya dalam tempoh 10 minit,” katanya. 



Tidak seperti tapak kaki dinosaur yang lain, banyak fosil ditemui di Alaska membonjol dari batuan dan tidak lekuk ke dalam. 

Ketua Jabatan Paleontologi di Muzium Alam Semula Jadi Amerika, Mark Norell, berkata beliau kini memikirkan apa yang sebenarnya berlaku di atas kawasan basah dan berpasir itu berjuta-juta tahun lalu. 

Fosil tertimbus 
“Ribut besar dan tiupan angin akan menyebabkan fosil itu tertimbus tanah liat dan tidak kelihatan. 

“Selepas berjuta-juta tahun acuan tanah liat itu, membentuk kesan tapak kaki seperti yang kita lihat sekarang. Ia adalah kesan sebenar tapak kaki haiwan itu ketika ia hidup,” katanya kepada stesen berita Perbadanan Penyiaran Amerika (ABC). 

Wujud banyak laman web dipenuhi dengan fosil dinosaur kawasan sekitar Amerika Amerika Syarikat, tetapi Alaska belum diterokai dengan rapi setakat ini. - AGENSI 

Thursday, August 1, 2013

Burung purba ditemui di China




PARIS - Bukti terkini menunjukkan bahawa Archaeopteryx, dinosaur bersayap, memiliki otak mirip burung moden dan makhluk itu didakwa mampu terbang, menurut kajian terbaharu.
Archaeopteryx dipercayai burung pertama di dunia yang mempunyai bulu dan hidup sekitar 150 juta tahun lalu.
Menurut kajian yang disiarkan kelmarin, sekurang-kurangnya beberapa spesies dinosaur yang hidup sezaman Archaeopteryx mempunyai otak dengan saraf untuk terbang.
Keputusan kajian diperoleh menerusi imbasan tiga dimensi (3D) terhadap tengkorak burung awal dinosaur tersebut. Fosilnya sebelum ini dikenali sebagai Xiaotingia Zhengi dan hidup pada zaman Jurasik China.
Kajian diketuai oleh ahli paleontologi, Amy Balanoff dari American Museum of Natural History dan diterbitkan dalam jurnal Nature. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0802&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2alv51hl1 
Hakcipta terpelihara 

Tuesday, July 16, 2013

Pekerja binaan temui fosil



BRISBANE - Pekerja-pekerja pembinaan projek menaik taraf sebuah landasan kereta api di sini telah menemui sejumlah fosil tumbuhan dan haiwan purba yang dipercayai berusia 50 juta tahun.
Penemuan fosil itu berlaku ketika pekerja binaan tersebut sedang menggali tanah berhampiran stesen kereta api Geebung pada bulan lalu.
Fosil yang ditemui di dalam tanah sedalam 15 meter dekat kawasan memacak cerucuk itu kemudian telah dibawa ke permukaan untuk dianalisis.
Fosil-fosil yang ditemui itu antaranya ialah fosil buaya, ikan, haiwan moluska air tawar dan tumbuh-tumbuhan.
Kesemua fosil tersebut berada di lapisan minyak syal yang dijangka berusia puluhan juta tahun.
Datuk Bandar Brisbane, Graham Quirk berkata, ia merupakan satu penemuan yang sangat menakjubkan.
Menteri Pengangkutan Australia, Scott Emerson yang menyelia kerja-kerja pembinaan landasan kereta api tersebut berkata, kemungkinan lebih banyak fosil berada di kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa jurutera projek tersebut sedang bekerjasama dengan Universiti Queensland dan Muzium Queensland berikutan penemuan fosil berkenaan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ZGOoZBIU 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, July 14, 2013

Fosil cicak dalam batu ambar




SAN CRISTOBAL DE LAS CASAS, Mexico - Sepasukan saintis di Mexico sedang mengkaji fosil lengkap seekor cicak purba yang pernah hidup sekitar 23 juta tahun dahulu yang terpelihara di dalam seketul batu ambar, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Fosil ambar yang berbentuk trapezoid dengan bangkai cicak di dalamnya ditemui beberapa bulan lalu di pusat cari gali ambar di Simojovel, Chiapas di sini.
Kebiasaannya, batu ambar akan mengandungi tumbuhan-tumbuhan dan haiwan kecil di dalamnya, namun untuk menemui haiwan yang sempurna seperti cicak tersebut, ia jarang berlaku.
Kajian awal mendapati cicak itu merupakan seekor spesies baharu cicak daripada keluarga Anolis.
Penemuan itu kini dipamerkan di Muzium Ambar di sini.
Saintis Universiti Autonomi Kebangsaan Mexico, Francisco Riquelme berkata, spesimen itu berukuran 4.5 sentimeter panjang dengan 1.3 sentimeter lebar.
Spesimen cicak itu masih lengkap mempunyai tisu kulit dan tisu badan yang lembut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Z4kMNfir 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, June 26, 2013

Lebuh raya 1,800 tahun ditemui






Baitulmaqdis: Pakar arkeologi berjaya menemui satu lebuh raya purba, dipercayai dibina pada era pemerintahan Rom di Baitulmaqdis, kata pihak berkuasa. 

Agensi Antikuiti Israel (IAA) berkata lebuh raya berkenaan dipercayai berusia 1,800 tahun ditemui di kejiranan Palestin di Beit Hanina di utara Baitulmaqdis, lapor media tempatan. 
Ini adalah kali pertama kami menemui sebahagian jalan purba di Baitulmaqdis yang dijaga dengan baik, kata pengarah kerja arkeologi berkenaan David Yeger. Beliau berkata, lebuh raya yang baru ditemui itu adalah salah satu rangkaian jalan yang dibina kerajaan Rom, menuju ke Baitulmaqdis dari arah pantai. 



Guna batu leper 

Lebuh raya itu mempunyai keluasan lapan meter dibina menggunakan batu leper yang besar dan dilekatkan antara satu sama lain, untuk memberi keselesaan kepada pengguna yang berjalan kaki. 

Sebahagian daripada batu itu sudah rosak teruk dan ia memberi isyarat bahawa ia digunakan dengan kerap selama bertahun-tahun dan turut mengalami beberapa kerja baik pulih, katanya. 
Kerajaan Rom memerintah wilayah Mediterranean dan sebahagian daripada Eropah pada abad pertama sebelum Masehi hingga kejatuhannya pada tahun 476. 

Bergerak pantas, selesa 

Pentadbiran Rom di Baitulmaqdis membina banyak jalan raya bertujuan memenuhi keperluan kerajaan, tentera, ekonomi dan orang awam yang mahu pergerakan pantas dan selesa. 

Pembinaan dan penyenggaraan lebuh raya ini dilakukan oleh unit tentera, tetapi orang awam turut mengambil bahagian, dalam kerja yang diwajibkan kepada mereka oleh pihak pemerintah, katanya. 
AGENSI
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Lebuhraya1_800tahunditemui/Article

Kota purba Korea Utara diiktiraf


KAESONG 24 Jun - Tinggalan kota purba di wilayah Hwanghae Utara di selatan Korea Utara, diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam.
Kaesong yang menjadi ibu kota kepada Dinasti Koryo yang memerintah Korea Utara dan Korea Selatan dari 918 Masihi hingga 1392, terletak berhampiran kawasan industri Kaesong, yang terpaksa ditutup pada April lalu ekoran perselisihan antara kedua-dua negara terbabit.
Usaha Korea Utara untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut diluluskan pada mesyuarat UNESCO di Phnom Penh, Kemboja, semalam.
Kaesong memiliki 12 tapak berasingan, termasuk makam Raja Kongmin, runtuhan Istana Manwoldae dan akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik ketika era itu.
"Peninggalan budaya bernilai itu menjadi kebanggaan negara kami dan terdapat juga tinggalan budaya berharga yang menunjukkan sejarah panjang negara Korea.
"Ada juga tinggalan yang telah disimpan dalam tempoh yang panjang yang boleh menjadi kebanggaan kami di mata dunia," kata seorang penyelidik di Pejabat Pengurusan Bandar Kaesong bagi Pemuliharaan Warisan Kebangsaan, Kim Jin-sok.
Kaesong menjadi tapak kedua di Korea Utara yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia selepas kompleks Makam Koguryo di Pyongyang yang menerima pengiktirafan sama pada 2004.
Sementara itu, sebanyak 13 lokasi di seluruh dunia turut diwartakan sebagai Warisan Dunia UNESCO pada hujung minggu lalu termasuklah gunung berapi tertinggi dan paling aktif di Eropah, Gunung Etna di Itali dan Gunung Fuji, gunung tertinggi di Jepun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130625/lu_09/Kota-purba-Korea-Utara-diiktiraf#ixzz2XK4Yh5VT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, June 16, 2013

Cengkerang berusia 260 juta tahun ditemui di Merapoh

















KUALA LIPIS 16 Jun - Seorang Ahli Paleontologi dari Institut Geologi Malaysia (IGM) menemui fosil cengkerang berusia 260 juta tahun di Sungai Yu, berdekatan Merapoh di sini.
Hasil kajian ke atas fosil itu mendapati ia lebih tua berbanding fosil yang ditemui di Taman Emas, bandar Kuala Lipis pada 2011 lalu yang berusia 230 juta tahun.
Ahli Paleontologi itu, Ahmad Rosli Othman berkata, daerah ini mempunyai banyak kawasan yang mengandungi fosil atau tinggalan hidupan purba dari zaman prasejarah.
"Fosil cengkerang ditemui pada satu singkapan batuan di sepanjang projek menaik taraf jalan raya Merapoh ke Kuala Lipis yang sedang dalam pembinaan berdekatan Sungai Yu.
"Fosil yang terletak pada lapisan batu lumpur itu merupakan jenis Brakiopoda yang lazimnya hidup dipersekitaran laut cetek," katanya kepada pemberita di Sungai Yu di sini hari ini.
Menurutnya, antara spesies Brakiopoda yang dapat dikenal pasti di kawasan sama iaitu Leptodus sp., Transennatia sp. dan Spyridiophora sp.
Beliau yang juga penyelidik dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, penemuan itu menunjukkan sekitar 250 juta hingga 260 juta tahun dahulu Merapoh berada di dasar lautan dan menjadi habitat hidupan laut purba yang primitif. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130616/dn_20/Cengkerang-berusia-260-juta-tahun-ditemui-di-Merapoh#ixzz2WNgmJRxH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, June 12, 2013

Artifak sejarah dalam laut terus diceroboh


KUALA LUMPUR 12 Jun - Jabatan Warisan Negara (JWN) mendedahkan bahawa ada sindiket terancang yang mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit hasil tinggalan kapal-kapal yang tenggelam di perairan negara menyebabkan Malaysia kerugian besar dari segi hasil sejarah dalam laut.
Barang peninggalan termasuk emas dan berlian menjadi rebutan sindiket ini sekurang-kurangnya daripada 67 kapal dagang dan kapal perang lama yang tenggelam di kawasan perairan negara di Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Pahang.
Pegawai Warisan bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi berkata, koleksi artifak daripada kapal karam atau kargo, emas, berlian dan barang berharga yang lain itu dicuri untuk dijual di pasaran gelap atau dijadikan koleksi peribadi.
"Di perairan Melaka sahaja terdapat 35 buah kapal yang tenggelam.
"Jika dikira dengan jumlah sedia ada sebenarnya tapak kapal karam di Malaysia lebih pada yang direkodkan kerana setiap masa ada saja laporan penemuan kapal karam baharu di negara ini," katanya kepada Bernama.
Menurut Jabatan Muzium, antara kapal lama yang tenggelam di perairan negara ialah kapal Nassau milik Angkatan Laut Belanda, pada 16 Ogos 1606 berhampiran kawasan yang dikenali Bambek Shoal, lima kilometer dari luar pantai Port Dickson ketika berperang dengan Portugis.
Dalam peperangan itu, Belanda kehilangan dua kapal iaitu Nassau dan Middleburg, manakala Portugis kehilangan kapal San Salvador dan Don Duarte De Guerra.
Berdasarkan eskavasi arkeologi maritim, tinggalan kapal Nassau berjaya dijejaki sekali gus menemui sebanyak 5,000 artifak seperti senapang besi dan gangsa, dua sauh besi, peluru plumbum, seramik dari Eropah Utara, tempayan martaban dari Asia Tenggara dan barangan piuter.
Sebuah lagi kapal, Royal Nanhai yang temui pada tahun 1995 dipercayai sebuah kapal Diraja dari China yang karam pada 1460 dan ditemui di perairan antarabangsa kira-kira 40 batu nautika dari timur Semenanjung Malaysia pada kedalaman 46 meter.
Kapal yang berukuran 28 meter panjang dan 8 meter lebar ini didapati karam apabila menjalankan tugas khas membawa barangan Diraja ke Melaka seperti kotak laker berwarna hitam, chop menteri daripada gangsa dengan pemegangnya berbentuk gajah dan mangkuk seramik China berwarna biru dan putih, yang dipercayai berasal daripada pemerintahan Jingtaij Tienshun antara tahun 1450 dan 1464.
Ruzairy berkata, pihaknya sering menerima maklumat dan laporan daripada nelayan serta pencari harta karun bahawa berlakunya 'penjarahan' atau kecurian artifak di kawasan perairan Labuan, perairan Kudat, Balambangan dan Mantanani, Perairan Melaka hingga ke Tanjung Tuan.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah kes melibatkan kecurian itu pada tahun lepas dan tahun sebelumnya.
Katanya, nilai sesuatu artifak yang terdapat dalam sesebuah kapal karam lebih diukur melalui bukti sejarah dan kepentingan terhadap persejarahan negara daripada nilai komersil.
"Semakin lama dan sukar artifak itu maka nilai komersilnya lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata, kapal karam dan artifaknya merupakan sumber data negara yang penting bagi membuktikan kewujudan sebuah pelabuhan entrepot terulung dan perdagangan maritim empayar Melaka (1278-1511)di perairan Melaka.
Katanya, JWN dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) sentiasa bersiap sedia dan peka pada setiap laporan yang diterima bagi menghalang sebarang pencerobohan atau aktiviti pencurian kapal karam bersejarah.
"Kami juga meminta APMM supaya menyoal dan menangkap sesiapa sahaja yang cuba menjalankan aktiviti menyelam di kawasan yang bukan kawasan rekreasi skuba atau mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh JWN untuk kerja meninjau dan mengambil barangan artifak itu," katanya.
Ruzairy berkata, khazanah dan artifak kapal karam bersejarah dilindungi melalui Akta Warisan Kebangsaan 2005 iaitu warisan kebudayaan di bawah air bagi mengelak sebarang pencerobohan dan kecurian.
Jabatan Warisan Negara juga telah mewartakan empat tapak di Perairan Tanjung Tuan, Perairan Pulau Upeh-Pulau Besar, Pulau Tioman dan Labuan sebagai 'zon yang dilindungi' kerana kawasan itu banyak terdedah kepada kecurian artifak, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_34/Artifak-sejarah-dalam-laut-terus-diceroboh#ixzz2VzV4pcYu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, June 11, 2013

Terowong bawah tanah ditemui



KOTA BHARU - Pada tahun lalu orang ramai dikejutkan dengan penemuan misteri kononnya terdapat sebuah terowong bawah tanah di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini.
Bagaimanapun, kewujudan terowong tersebut dinafikan penduduk kerana ia sebenarnya hanya sebuah telaga yang di bawahnya terdapat saluran air yang mengalir ke Sungai Kelantan.
Baru-baru ini, cerita mengenai kewujudan sebuah terowong bawah tanah di Kelantan timbul lagi tetapi kali ini ia benar-benar wujud di Kampung Kalai, Jeli dekat sini baru-baru ini.
Presiden Kelab Pencinta Sejarah Kelantan, Mohd. Idham Rashid berkata, terowong itu dipercayai digali pada zaman sebelum kedatangan British dan ditemui pihaknya sejak Februari lalu.
Menurutnya, terowong tersebut juga dipercayai boleh menembusi sehingga ke sempadan Thailand.
"Mungkin ramai yang tidak mengetahui Kampung Kalai adalah sebuah pekan lama dan satu-satunya sempadan darat di Kelantan yang memisahkan Malaysia dengan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2VxywDpwk 
Hakcipta terpelihara 

Artifak kaum Maya ditemui di tapak pembinaan



SAN SALVADOR - Beberapa pekerja yang membina sebuah bangunan kediaman menemui beberapa pasu, serpihan seramik dan artifak lain, kata seorang pegawai kelmarin.
Penemuan itu dibuat di Colon, 25 kilometer ke barat San Salvador.
Sebahagian rangka manusia turut ditemui di tapak persebut.
Barang-barang dan rangka manusia yang ditemui beberapa ahli arkeologi Jepun dan Salvador itu mungkin berasal dari zaman kebudayaan kaum Maya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2VxyHfZDy 
Hakcipta terpelihara 

Sunday, May 12, 2013

Lantai mozek berusia 1,500 tahun ditemui


TEL AVIV - Sebuah lantai mozek berusia 1,500 tahun ditemui dekat Kibbutz Beit Kama di Negev, Israel, menurut Pihak Berkuasa Antikuiti Israel semalam.

Lantai itu dibina di antara abad keempat hingga keenam Sebelum Masihi pada era pemerintahan empayar Byzantine.

Sekumpulan ahli arkeologi Pihak Berkuasa Antikuiti Israel turut menemui beberapa struktur binaan lama di bawah sebuah padang di Kibbutz Beit. - AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0513&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2T8zauJBo
Hakcipta terpelihara

Wednesday, May 8, 2013

Muzium anjur Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu 12 Mei 2013


Sumber Gambar : http://kotasejarah.blogspot.com/2011_09_01_archive.html
KUALA TERENGGANU - Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu 2013 pada Ahad ini di Kompleks Muzium Negeri Terengganu di sini.
Penolong Kurator Perhubungan dan Pemasaran Lembaga Muzium Negeri, Mohd. Saberi Muda berkata, seminar dua hari itu akan menggabungkan 10 cendekiawan tanah air dari seluruh negara yang akan mengupas berhubung batu bersurat tersebut.
Katanya antara objektif seminar ini ialah bagi mengkaji dan menyelidik asal usul batu yang digunakan ketika penyediaan teks undang-undang Islam yang dikuatkuasakan oleh pemerintah Islam pada abad ke-14.
"Penganjuran kali kelima ini menggabungkan penyelidik daripada pelbagai bidang khusus kajian sejarah bahasa, penulisan dan sejarah perundangan Islam dijadikan asas pembentangan kertas kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Antara tokoh yang terlibat ialah Prof. Emeritus Datuk Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman (UKM) dan Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir (UPM) dan lain-lain tokoh akademik tempatan dan luar.
Menurutnya lebih 150 peserta dijangka mengikuti seminar ini yang akan dirasmikan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2Sgv3FrKj 
Hakcipta terpelihara 

AS pulangkan tengkorak dinosaur kepada Mongolia




NEW YORK - Amerika Syarikat (AS) semalam telah menyerahkan semula tengkorak dinosaur yang berusia 70 juta tahun kepada Mongolia.
Tengkorak itu merupakan rangka dinosaur Tyrannosaurus yang telah dicuri dari kawasan gurun Gobi di Mongolia dan kemudian dijual di sebuah pusat lelongan di New York.
Tengkorak yang hampir lengkap itu merupakan rangka dinosaur Tyrannosaurus bataar yang merupakan dari spesies Tyrannosaurus rex.
Ia cuba dilelong dengan nilai AS$1.05 juta (RM3.13 juta) tahun lalu sebelum pihak berkuasa AS mendapatkannya kembali selepas diminta Mongolia.
Peguam pendakwa raya terkenal di New York, Preet Bharara berkata:, "AS telah menumpaskan satu sindiket jenayah berkaitan. Kini, kami dengan rasa gembira ingin menyerahkan semula tengkorak yang bernilai jutaan ringgit ini kepada Mongolia."
Rangka dinosaur itu akan disambut dengan meriah apabila dibawa pulang ke Mongolia.
"Kita tidak pernah memiliki rangka dinosaur untuk dipamerkan di muzium sebelum ini. Jadi kami akan menyediakan sebuah muzium baharu yang dipanggil Muzium Pusat Dinosaur Mongolia.
"Rangka Tyrannosaurus bataar akan menjadi bahan pameran utama. Ia akan dipamerkan di muzium ini," kata Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Mongolia, Oyungerel Tsedevdamba. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2SgtIRjrU 
Hakcipta terpelihara 

Benua tenggelam 100 juta tahun ditemui





RIO DE JANEIRO, Brazil - Ahli geologi Brazil kelmarin mengumumkan penemuan sebahagian benua negara itu yang tenggelam pada kedudukan 1,500 kilometer dari Rio De Janeiro.
Penemuan itu mungkin merupakan sebahagian daripada benua yang tenggelam ketika Lautan Atlantik telah membentuk benua Afrika dan Amerika Selatan kira-kira 100 juta tahun dahulu.
Seorang pegawai kanan Pusat Perkhidmatan Geologi Brazil (CPRM), Roberto Ventura Santos berkata, beberapa sampel batu granit ditemui pada dua tahun lalu semasa kerja-kerja cari gali dilakukan di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Rio Grande Elevation.
Kawasan itu merupakan sebuah kawasan banjaran pergunungan di Brazil dan perairan antarabangsa.
Batu granit yang dijumpai itu didapati membentuk benua tersebut.
"Kawasan ini mungkin merupakan Atlantis Brazil. Kami hampir pasti, namun hipotesis kami perlu dibuktikan. Kami akan mendapatkan pengesahan saintifik terakhir pada tahun ini dengan menjalankan aktiviti penggerudian di kawasan sama tidak lama lagi," kata laman web berita G1 memetik kenyataan Ventura. - AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0508&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2SgouBPuW 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, May 1, 2013

Kota legenda purba ditemui



KAHERAH – Sebuah patung gergasi purba telah ditemui di laut Mediterranean yang membawa kepada penemuan kota legenda purba, Heraklion.
Pada sedekad lalu, tiada siapa mengenali Heraklion yang dipercayai sebuah kota pelabuhan purba dengan kesahihan kewujudan kota tersebut dipertikai.
Namun, akhbar Telegraph melaporkan, sekumpulan penyelidik menemui kota itu di dalam laut pada kedalaman 45.72 meter di Teluk Aboukir, Mesir.
Antara artifak yang ditemui termasuk 64 buah kapal, patung batu setinggi 4.87 meter, 700 buah sauh dan sejumlah duit syiling emas.
Pakar arkeologi laut dalam yang menemui kota purba berkenaan, Franck Goddio mendakwa, kota itu dipercayai wujud sekitar kurun kelapan sebelum masihi (SM).
Menurutnya, usia Heraklion adalah lebih tua daripada kota purba terkenal, Iskandariah.
“Kami mungkin perlu meneruskan kerja-kerja penyelidikan kajian untuk 200 tahun lagi sebelum rahsia kota ini dapat dibongkar sepenuhnya kata Goddio. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2S6Q1HhN6 
Hakcipta terpelihara